Selamat hari kebangsaan

Hari ini negaraku yang tercinta menyambut ulang tahunnya yang ke-50. Merdeka daripada jajahan Inggeris buat 50 tahun. Namun hatiku sedih mendengarkan berita-berita yang berlaku kebelakangan ini. Kisah-kisah korupsi, ketidakadilan, kerajaan yang kurang prihatin terhadap kaum minoriti dan pertambahan jurang di antara kaum membuatkan hatiku sedih.

Nenekku bermigrasi dari China ketika dia berusia 8 tahun. Dia dibesarkan di Tanah Melayu. Setelah berkahwin dengan datukku pada umur 18 tahun, mereka berpindah ke sebuah kampung Melayu di utara semenanjung Malaysia.  Nenekku dan datukku dikenali oran-orang kampung dan disegani orang-orang kampung kerana mereka sering menghulurkan bantuan dan jujur. Datukku dikenali sebagai "Tok Kedai Tengah". Nenekku menjadi orang tengah yang menemukan calon isteri pekerja di kedainya - "Mat Hassan". Mereka yang membantu dari segi kewangan untuk upacara akad nikah "Mat Hassan". Saya ingat ketika saya masih dalam lingkungan puluhan tahun, keluarga saya akan membawa nenek melawat keluarga "Mat Hassan". Kita akan bersama-sama makan ketupat dan rendang sambil bercerita tentang kisah-kisah datuk. Kak Ani, anak kepada Mat Hassan pernah melawat keluarga saya di Klang. Dia dipesan ibunya "Jangan terlalu memilih, kalau apa yang dimasak itu halal, bacakan doa dan makanlah." Namum nenekku akan selalu membawa Kak Ani makan di kedai Melayu berdekatan dengan rumah supaya Kak Ani tidak serba salah. Kak Ani bersolat di bilik tidurku dan itu tidak menjadi masalah buat saya. Saya rindukan saat-saat sedemikian.

Teman-teman sekolah saya terdiri dari pelbagai bangsa. Saya cuba belajar bahasa Tamil daripada teman-teman India, mempunyai teman-teman Melayu dan teman-teman Cina. Sepanjang hidup sekolahku dari sekolah rendah ke sekolah menengah hanya pernahku ketemu dengan dua orang Melayu yang ku berikan judul "MCP" (dalam bahasa Inggeris). Bilaku cuba berkenalan didalam kelas, kata-kata yang dikeluarkan itu begitu menyakitkan "Pergilah Cina, perempuan lagi!" Saya memberitahu diriku yang mereka ini cuma minoriti.

Setibanya saya di Universiti tempatan, polarasi kaum menjadi ketara. Saya tekad untuk tinggal di asrama - Kolej Pelajar. Pelajar Melayu yang lain boleh tidak beraktiviti untuk mendapatkan tempat di kolej tetapi pelajar Cina dan India harus aktif dalam kegiatan kolej untuk tinggal di sana. Bangunan kolejku yang boleh menampung 2500 pelajar perempuan cuma mempunyai 3 orang pelajar Cina perempuan Senior dan saya adalah salah satu daripada mereka! Dalam hatiku berfikir perpaduan tidak akan berlaku sekiranya pelajar tidak diberikan layanan yang sama.

Ketika kerja, pergaulan antara kaum adalah lebih baik. Ini mungkin kerana saya bekerja di syarikat swasta antarabangsa. Saya menghormati mereka kerana kompetensi mereka dan bukannya kerana mereka diberikan layanan istemewa. Ada seorang teman yang telah banyak mengajarku tentang prinsip kerja. Terima kasih :)

Pernahku memberitahu papa yang saya ingin menjadi seorang pegawai kerajaan seperti dia. Papaku menjawab, "Sebaiknya jangan mengikuti langkah papa, kerja saja di swasta." Saya hairan kenapa tidak harus ikut langkah-langkah papa. Semakin usiaku meningkat, semakinku memahami keadaan yang berlaku. Berkali-kali papa yang bekerja dan orang lain yang dinaikkan pangkat. Pernahku lihat dekan bukan melayu satu fakulti diganti dengan orang yang kurang kompeten daripada dia. Sepeninggalan saya di rantau orang, saya menemui banyak orang Malaysia berpotensi dan bijak pandai yang telah meninggalkan Malaysia. Bukan mereka tidak ingin tinggal di Malaysia tetapi Malaysia tidak memberikan peluang kepada mereka. Saya kenal satu keluarga yang berimigrasi ke Australia kerana isterinya yang dari Filipina gagal mendapatkan kerakyatan Malaysia walaupun sudan 6-7 tahun disin dan dia bekerja sebagai seorang profesional di sebuah syarikat antarabangsa! Demi kestabilan keluarga dan kepentingan anak mereka, mereka berimigrasi ke Australia.

Perasaanku buat hari merdeka yang ke-50 ini bercampur.aduk. Malaysia bebas dari jajahan tetapi satu-satunya tempat yang saya gelarkan "Tanah tumpah darahku" menghalauku kerana agama dan warna kulit saya berbeza dari majoriti. Saya melihat dengan begitu ketara sekali "yang di lakukan kerajaan adalah benar dan yang lain salah, sungguhpun faktanya berbeza". Isu penyembelihan lembu di parlimen tanpa mengira perasaan mereka yang beragama Hindu adalah begitu tidak sensitif! Laungan untuk membasahkan keris dengan darah orang cina tidak dianggap sebagai "mencetuskan isu perkauman"! Isu korupsi, projek terbengkalai tidak dibawa ke muka pengadilan. Sebaliknya saya melihat ahli politik sibuk dengan isu-isu kecil.

Bapa borek, anak rintik. Kalau kerajaan sendiri tidak memberikan contoh dan tauladan, jangan tujukan soalan "Bagaimana kita harus menyatukan Malaysia?" Kenapa kita harus membezakan antara satu sama lain. Saya doakan untuk satu Malaysia yang tidak membezakan antara warna kulit dan agama. Kita seharusnya membantu yang memerlukan bantuan dan tidak selalu berprasangka buruk antara yang lain. Bilakah bangsa Malaysia akan menjadi satu kenyataan?

Panggilan Tuhan buat orang yang beriman ialah membantu mereka yang ditindas, mereka yang yatim piatu dan mereka janda. 


>>